Saturday 16 February 2013

PR Vs Majlis Syura, Mana Satu Keutamaan PAS?



Beria-ia benar PAS melalui Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Harun Taib mahu membuktikan kepada umum bahawa parti itu lebih mengutamakan keputusan Majlis Syura Ulama PAS sama ada dalam isu kalimah Allah s.w.t mahupun berkenaan isu terbaru mengenai siapa yang layak menjadi Perdana Menteri sekiranyaa PR menang PRU 13.

Dalam kenyataan terbarunya, Harun Taib berkata siapa sahaja tidak berhak campur tangan hal ehwal dalaman PAS khususnya membabitkan Majlis Syura termasuklah DAP, sekalipun parti cauvinis Cina itu dan PAS berada dalam gabungan rapuh, PR.

Itu respons rasmi PAS terhadap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang bangkit menegaskan bahawa bakal PM dari PR tetap Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan segala cakap-cakap mengenai bangkangan dari Majlis Syura PAS hanyalah spekulasi murahan sahaja.

Kenyataan Karpal itu memang menghina kedudukan Majlis Syura Ulama PAS di mata umum, tapi sudah hakikatnya sebegitu. PAS sebenarnya sedang tersepit di antara prinsip bersama PR dan dasar Majlis Syura Ulama PAS, mana satu yang wajib menjadi keutamaan.

Pilihan yang rumit, tapi sebetulnya tidaklah sesukar mana untuk diputuskan sekiranya PAS memiliki jati diri dan berpegang teguh pada dasar perjuangannya yang asal.

Apa yang diperkatakan oleh Karpal ada merit dan ada kewajarannya memandangkan sekian lama sudah menjadi pengetahuan umum, Anwar adalah calon rasmi sebagai PM sekiranya PR berjaya mengalahkan BN. Dan patutnya tiada sebab untuk PAS membangkangnya, hatta Majlis Syura Ulama PAS juga tidak layak untuk menidakkan keputusan muktamad PR itu.

Tapi bukan juga satu rahsia pun, bukan sahaja di kalangan ahli Majlis Syura Ulama PAS malah sesetengah pemimpin PAS yang lain juga kurang bersetuju dengan keputusan meletakkan Anwar sebagai calon PM. Ini bukan masalah baru sementelah lagi desakan demi desakan di peringkat akar umbi lebih serasi untuk melihat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang dicalonkan sebagai PM.

Namun demikian, pada siapa PAS mahu menipu, walhal umum mengetahui status PAS dalam PR hanyalah sekadar balaci yang tidak mempunyai prinsip dan jati diri yang teguh, melainkan terbukti sering kali tunduk pada kemahuan DAP yang mendominasi arah tuju gabungan pembangkang itu.

PAS berlakon sehebat mana pun, hakikatnya PAS adalah sebahagian dari PR. Ke kiri PR menongkah arus, ke kirilah tempiasnya pada PAS. Ke kanan PR mengiring, ke kananlah PAS turut sama di badai ombak. Lainlah jika PAS yang mendominasi PR maka tentunya senario akan berbeza, tapi kemungkinan ini amat-amat mustahil berlaku.

Dah namanya hidup sepakatan dan sudah sekian lama berjanji membawa bahtera PR mengikut hala tuju sebagaimana diputuskan secara rasmi, maka wajiblah PAS patuh dan wala’ pada persetujuan yang telah dibuat. Suka atau tidak, PAS perlu mengikut sahaja selagi parti itu kekal dalam PR.

Sebagaimana dalam isu kalimah Allah s.w.t di mana PR tetap kekal dengan keputusan bersama yang sebulat suara dicapai di antara DAP, PKR dan PAS sekalipun selepas itu PAS kelihatan seperti mahu mengikut kehendak Majlis Syura Ulamanya, namun hingga kini PR secara rasmi menyokong penggunaan kalimah Allah s.w.t untuk dinukilkan dalam kitab Bible.

Itu sudah lebih dari cukup membuktikan PAS kekal sebagai balaci dan Majlis Syura Ulama PAS pula tidak lebih sekadar tin kosong yang diketuk bertalu-talu untuk mengalih pandangan ahli dan penyokong PAS dari menyedari hakikat kedudukan sebenar PAS dalam PR.

Kini bila timbul semula isu siapa yang layak menjadi PM di kalangan pemimpin utama PR, pusing kot mana pun sudah muktamad bagi PR hanya Anwar Ibrahim sahaja yang layak.

Baik Harun mahupun PAS sendiri buat apa nak peningkan kepala marah-marahkan Karpal Singh atau mana-mana pemimpin DAP sekali pun, tiada gunanya. Karpal ada hak untuk mengkritik PAS selagi mana PAS kekal dalam PR.

Sekiranya PAS benar-benar mahu memartabatkan kembali peranan Majlis Syura Ulama yang kononnya adalah tunjang kekuatan parti itu, seeloknya sudah lama PAS keluar dari PR sebagai bukti parti itu mengutamakan Majlis Syura Ulamanya.

Kredit - Klik Sini 

1 comment:

  1. Pelik Pas nii. Nak Perintah Negara tapi tak sedar diri. Jangan bincang bab hubungan terlarang mereka dengan parti terlarang DAP dan PKR tetapi kita tengok dalam PAS sendiri. Mana satu berkuasa? Majlis Ulama? Presiden? Mursyidul? Menteri Besar? Mereka kata nak perjuang Islam tapi terikut UMNO. Dalam Umno presiden berkuasa maka Haji Hadipun kata dialah berkuasa dalam PAS. Tapi Nik Aziz kata dia lebih tinggi dari presiden sebab mursyidul. Menteri Besar ( dulu Kedah dan Kelantan ) pula kata dia lebih besar dari PAS sebab MB lah yang paling berkuasa dalam setiap negeri. Majlis Ulama kata mereka mesti dirujuk sebab mereka adalah ulama. Hj Hadi dan Nik Aziz kata mereka Ulama jadi tak payahlah Tanya Majlis ulama. Ini seolah bermakna bubar sajalah Dewan Ulama..... Timbul pula isu, awak tuu ulama kaa sebab dilantik atas undi... Maknanya kena bertanding nak diiktiraf sebagai ulama... akhirnya kesimpulan dibuat ialah itu pendapat peribadi..... Kalau untung kat Pas maka dikatakan itu kenyataan PAS tapi kalau rugi dikatakan pendapat peribadi walaupun dibuat oleh Presiden, MB, Mursyidul atau Dewan Ulama.... Mudahnya cakap munafik.... Akhirnya kenyataan rasmi PAS datangnya dari SU PAS sebab dia akan umum ... ini kenyataan rasmi PAS. Seolah-olah lain-lain kenyataan itu tak boleh pakai sebab datang dari pembohong yang tak tahu kedudukan diri mereka dalam PAS? Tak terkeliru kita! Satu lagi mursyidul ni sepatutnya hanya bagi nasihat kat Presiden dan Dewan Ulama tapi bila tak tahu tugas maka jadi celarulah pentadbiran PAS. Begitu juga menteri Besar, sebagai ahli PAS kena taatlah kepada PAS pusat sama seperti presiden Pas tu Khalifah... Tapi PAS celaru sebab akidah perjuangan mereka tak jelas. Tasawuf langsung tak ada. Akibatnya bukan setakat anak buah, pemimpin pun rasa hebat nak bercakap tanpa tahu kedudukan jawatan mereka dalam PAS. Mereka terpengaruh dengan system bukan Islam seperti UMNO. Itu tak termasuk system ekonomi.... Kesimpulannya mereka nak berjuang tapi tak tahu system apa yang di pakai patutlah ditipu ole DAP dan PKR....

    ReplyDelete