Wednesday 20 February 2013

Almy Nadia: Saya Baru Tahu Dia Bertunang Dengan Isteri Orang


Almy Nadia sebelum ini enggan membuka mulut tentang perkara sebenar & menunggu kenyataan pertama keluar dari Fizz Fairuz tentang kontroversi pertunangan beliau minggu lalu.

Sebagai respons kepada apa yang di’dedahkan oleh Fizz Fairuz hari ini kepada Harian Metro, Almy Nadia mengakui yang dirinya juga baru tahu yang wanita tersebut merupakan isteri orang.


“Saya baru dapat tahu yang dia (Fizz Fairuz) bertunang dengan isteri orang tetapi saya tidak mahu masuk campur urusan mereka,” ujar Almy Nadia yang tahu akan perkara ini beberapa hari lalu.

Memberikan komen tentang ada kemungkinan Fizz Fairuz terkena buatan orang, Almy Nadia tidka menolak perkara itu terjadi kerana selama ini Fizz Fairuz tidak pernah berkelakuan pelik sebegitu.

“Sebelum ini Fizz (Fairuz) tidak pernah menunjukkan perkara pelik seperti apa yang sudah terjadi — saya pernah menyuruhnya pergi berubat tetapi entahlah,” ujar beliau enggan mengulas lanjut.

Rahsia Terbongkar, Tunang Fizz Fairuz Isteri Orang


PETALING JAYA: Ketika heboh majlis pertunangan rahsia Fizz Fairuz dengan seorang wanita yang berlangsung pada 10 Februari lalu, pelakon tersebut sebenarnya telah bertunang dengan isteri orang.

Rahsia wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang tersebut terbongkar apabila Fizz sendiri dimaklumkan oleh kawan kepada adik wanita tersebut mengenai status “tunangnya” itu.

“Empat hari selepas bertunang barulah saya tahu wanita itu merupakan isteri orang. Sabtu lalu saya telah berjumpa dengan suami wanita itu. Lelaki itu menjelaskan wanita berkenaan adalah isteri keduanya selepas mereka bernikah di Thailand,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro pada Rabu.

Fizz juga menganggap dia benar-benar tertipu dan berasa hairan perkenalannya yang singkat dengan wanita berkenaan telah membuka hatinya untuk bertunang berbanding hubungannya dengan pelakon Almy Nadia yang sudah terjalin selak tujuh tahun lalu.

Malah Fizz juga memohon maaf kepada Almy Nadia kerana kejadian itu termasuklah kepada semua pihak.

“Saya benar-benar tertipu dan tidak menyangka tunang saya itu isteri orang.

“Kehidupan saya seolah-olah ‘diatur’ oleh dia (bekas tunangnya) sejak kami berkenalan setahun lalu,” katanya yang menyifatkan kemungkinan dia terkena buatan orang.

Pertunangan Fizz,34, secara diam-diam dengan seorang wanita berusia 26 tahun di Kuantan, Pahang pada 10 Februari lalu, mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini dia hangat bercinta dengan pelakon, Almy Nadia, 27.

Sementara itu, Almy Nadia enggan memberi sebarang komen dan tidak mahu masuk campur berkaitan urusan pelakon lelaki itu lagi.

Memetik laporan mStar Online pada 14 Februari lalu, pendakwah selebriti, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata tindakan Fizz Fairuz yang menyarung cincin ke jari manis tunangnya merupakan satu kesalahan daripada segi adat Melayu dan haram hukumnya dalam agama Islam.

Wan Akashah juga turut menasihati Fizz supaya perlu menguar-uarkan majlis pertunangannya kepada umum untuk mengelak sebarang prasangka.

Saturday 16 February 2013

PR Vs Majlis Syura, Mana Satu Keutamaan PAS?



Beria-ia benar PAS melalui Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Harun Taib mahu membuktikan kepada umum bahawa parti itu lebih mengutamakan keputusan Majlis Syura Ulama PAS sama ada dalam isu kalimah Allah s.w.t mahupun berkenaan isu terbaru mengenai siapa yang layak menjadi Perdana Menteri sekiranyaa PR menang PRU 13.

Dalam kenyataan terbarunya, Harun Taib berkata siapa sahaja tidak berhak campur tangan hal ehwal dalaman PAS khususnya membabitkan Majlis Syura termasuklah DAP, sekalipun parti cauvinis Cina itu dan PAS berada dalam gabungan rapuh, PR.

Itu respons rasmi PAS terhadap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang bangkit menegaskan bahawa bakal PM dari PR tetap Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan segala cakap-cakap mengenai bangkangan dari Majlis Syura PAS hanyalah spekulasi murahan sahaja.

Kenyataan Karpal itu memang menghina kedudukan Majlis Syura Ulama PAS di mata umum, tapi sudah hakikatnya sebegitu. PAS sebenarnya sedang tersepit di antara prinsip bersama PR dan dasar Majlis Syura Ulama PAS, mana satu yang wajib menjadi keutamaan.

Pilihan yang rumit, tapi sebetulnya tidaklah sesukar mana untuk diputuskan sekiranya PAS memiliki jati diri dan berpegang teguh pada dasar perjuangannya yang asal.

Apa yang diperkatakan oleh Karpal ada merit dan ada kewajarannya memandangkan sekian lama sudah menjadi pengetahuan umum, Anwar adalah calon rasmi sebagai PM sekiranya PR berjaya mengalahkan BN. Dan patutnya tiada sebab untuk PAS membangkangnya, hatta Majlis Syura Ulama PAS juga tidak layak untuk menidakkan keputusan muktamad PR itu.

Tapi bukan juga satu rahsia pun, bukan sahaja di kalangan ahli Majlis Syura Ulama PAS malah sesetengah pemimpin PAS yang lain juga kurang bersetuju dengan keputusan meletakkan Anwar sebagai calon PM. Ini bukan masalah baru sementelah lagi desakan demi desakan di peringkat akar umbi lebih serasi untuk melihat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang dicalonkan sebagai PM.

Namun demikian, pada siapa PAS mahu menipu, walhal umum mengetahui status PAS dalam PR hanyalah sekadar balaci yang tidak mempunyai prinsip dan jati diri yang teguh, melainkan terbukti sering kali tunduk pada kemahuan DAP yang mendominasi arah tuju gabungan pembangkang itu.

PAS berlakon sehebat mana pun, hakikatnya PAS adalah sebahagian dari PR. Ke kiri PR menongkah arus, ke kirilah tempiasnya pada PAS. Ke kanan PR mengiring, ke kananlah PAS turut sama di badai ombak. Lainlah jika PAS yang mendominasi PR maka tentunya senario akan berbeza, tapi kemungkinan ini amat-amat mustahil berlaku.

Dah namanya hidup sepakatan dan sudah sekian lama berjanji membawa bahtera PR mengikut hala tuju sebagaimana diputuskan secara rasmi, maka wajiblah PAS patuh dan wala’ pada persetujuan yang telah dibuat. Suka atau tidak, PAS perlu mengikut sahaja selagi parti itu kekal dalam PR.

Sebagaimana dalam isu kalimah Allah s.w.t di mana PR tetap kekal dengan keputusan bersama yang sebulat suara dicapai di antara DAP, PKR dan PAS sekalipun selepas itu PAS kelihatan seperti mahu mengikut kehendak Majlis Syura Ulamanya, namun hingga kini PR secara rasmi menyokong penggunaan kalimah Allah s.w.t untuk dinukilkan dalam kitab Bible.

Itu sudah lebih dari cukup membuktikan PAS kekal sebagai balaci dan Majlis Syura Ulama PAS pula tidak lebih sekadar tin kosong yang diketuk bertalu-talu untuk mengalih pandangan ahli dan penyokong PAS dari menyedari hakikat kedudukan sebenar PAS dalam PR.

Kini bila timbul semula isu siapa yang layak menjadi PM di kalangan pemimpin utama PR, pusing kot mana pun sudah muktamad bagi PR hanya Anwar Ibrahim sahaja yang layak.

Baik Harun mahupun PAS sendiri buat apa nak peningkan kepala marah-marahkan Karpal Singh atau mana-mana pemimpin DAP sekali pun, tiada gunanya. Karpal ada hak untuk mengkritik PAS selagi mana PAS kekal dalam PR.

Sekiranya PAS benar-benar mahu memartabatkan kembali peranan Majlis Syura Ulama yang kononnya adalah tunjang kekuatan parti itu, seeloknya sudah lama PAS keluar dari PR sebagai bukti parti itu mengutamakan Majlis Syura Ulamanya.

Kredit - Klik Sini