Saturday 25 May 2013

ASTAGHFIRULLAH!! REMAJA 15 TAHUN RELA "DIJAMAH" 6 LELAKI, BAPA DAKWA DIROGOL!!

IPOH - Seorang gadis berusia 15 tahun merelakan tubuhnya 'diratah' sekumpulan enam lelaki dalam kejadian yang berlaku di Taman Pancaran Siputih, Pusing, dekat sini, antara Isnin dan Selasa lalu.

Pelajar sebuah sekolah menengah di Simpang Pulai, di sini, mendakwa melakukan hubungan seks bergilir-gilir dengan enam orang lelaki antara jam 11 malam Isnin lalu sehingga 3.30 petang keesokkannya sebelum dihantar pulang ke rumahnya.

Malah, gadis terbabit turut mengakui dia melakukan hubungan seks secara rela dan tiada unsur paksaan daripada lelaki terbabit.


Ketua Polis Daerah Baru Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, pihaknya ada menerima laporan yang dibuat bapa mangsa di Balai Polis Pusing berhubung insiden tersebut.

Menurutnya, mengikut laporan, bapa mangsa menerima panggilan telefon daripada kakaknya pada pagi itu memaklumkan anak perempuannya tidak pulang ke rumah selepas keluar awal pagi 28 Januari lalu.

Katanya, menurut pekerja swasta berusia 44 tahun itu, dia yang bimbang akan keselamatan anak perempuannya, bertindak mencari di sekitar kampung.

“Bagaimanapun, mangsa pulang ke rumah lebih kurang jam 7 malam hari yang sama dan kemudian menceritakan kepada bapanya yang dia telah melakukan hubungan seks dengan dua lelaki di sebuah rumah di Pusing.

“Selepas mendengar cerita tersebut, bapa mangsa membawa anak perempuannya itu membuat laporan berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shaharon berkata, siasatan awal mendapati mangsa menyelinap keluar dari rumahnya di Kampung Kepayang, di sini kira-kira jam 1 pagi pada Isnin lalu dan mengikuti salah seorang suspek yang membawanya ke sebuah rumah di Taman Siputih Pancaran, Pusing.

“Mengikut keterangan mangsa, dia mendakwa melakukan hubungan seks secara rela tanpa paksaan secara bergilir-gilir dengan enam orang suspek antara jam 11 malam sehingga 3.30 petang keesokkannya sebelum dihantar pulang ke rumahnya,” ujarnya.

Berikutan itu, beliau berkata, anggotanya menjejaki keenam-enam suspek dan tangkapan pertama dilakukan ke atas lima lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun di sebuah rumah di Taman Siputih, Pusing pada jam 1.30 pagi 29 Januari lalu.

“Sewaktu serbuan dijalankan ke rumah terbabit kesemua suspek didapati sedang tidur. Empat daripada suspek berasal dari Siputih manakala seorang lagi dari Ipoh.

“Seorang lagi suspek ditahan pada jam 8.13 malam di rumahnya di Siputih pada hari yang sama. Kesemua suspek bekerja sebagai operator pengeluaran kilang dan buruh kasar.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta sebat.

“Mangsa kini ditempatkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

“Kami percaya kes ini dianggap selesai dengan tertangkapnya keenam-enam suspek terbabit,” katanya.

Wednesday 22 May 2013

Zizan Lebih Berhati-hati Bercakap Soal Wanita


SUBANG JAYA: Pelawak Zizan Razak, mengakui akan lebih berhati-hati apabila bercakap soal jodoh dan wanita misteri dalam hidupnya.

Zizan, 29, berkata dia tidak mahu ada yang tersinggung atau tersilap tafsir dengan kata-kata atau kenyataan yang dikeluarkan.

“Saya tidak mahu cakap tentang wanita misteri itu sebab saya pun tidak mengenalinya dan hanya memandang daripada jauh sahaja.

“Bila saya beritahu lebih-lebih nanti orang cakap saya perbodohkan wartawan pula, lebih baik diam dan bila sampai jodoh, saya akan beritahu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Mammee Chef, di sini, Selasa.
Zizan berkata demikian bagi mengulas kontroversi baru-baru ini yang menganggap dia cuba mempermainkan soalan wartawan berkaitan teman wanitanya.

Sementara itu, Zizan berkata, biarpun sering dikaitkan dengan wanita berdarah kacukan, dia lebih memilih keikhlasan hati berbanding rupa paras.

“Memang tidak dinafikan lelaki sering tertarik kepada wanita cantik namun pada saya ialah hati yang ikhlas,” ujarnya.

Ditanya tentang hubungannya dengan pelakon baru Emma Maembong, Zizan berkata mereka hanya berkawan sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak tahu macam mana orang kaitkan saya dengan Emma mungkin sebab dia kacukan.
“Kami kawan sejak dua tahun lalu dan dia kini merupakan artis dibawah pengurusan saya,” katanya.



Monday 20 May 2013

Hari Belia Negara : Apa Keperluan Belia Yang Harus Kerajaan Beri?


Tanggal 15 Mei setiap tahun dipilih sebagai Hari Belia Negara. Apakah signifikan kepada tarikh tersebut sehingga kerajaan Malaysia menjadikan setiap tahun pada tarikh itu untuk meraikan belia-belia negara? 15 Mei dipilih sebagai menghargai belia-belia negara dan sebagai satu pengiktirafan oleh kerajaan terhadap golongan yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan. Putrajaya dipilih sebagai lokasi utama bagi sambutan Hari Belia Negara kerana dipercayai pemimpin yang telah membangunkan Putrajaya harus dihargai dengan pengisian program-program yang bermanfaat dan menjadikan Putrajaya sebagai sebuah lokasi yang meriah, penuh dengan anak muda.

Pilihanraya ke 13 baru saja berakhir dengan kemenangan berpihak kepada kerajaan Barisan Nasional. Rakyat masih mempercayai kredibiliti pemimpin-pemimpin yang telah dipilih bagi meneruskan lagi transformasi yang diilhamkan Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Razak. Rakyat percaya dengan memilih mereka ini mampu menyelesaikan pelbagai perkara yang masih tertangguh dan rakyat berpegang kepada prinsip Aku Janji Barisan Nasional iaitu ‘Janji di Tepati’.

Bertitik-tolak dari pemilihan itu, golongan belia adalah yang ramai dalam menyuarakan pendapat dan inginkan sesuatu yang baru dari kerajaan. Kerajaan harus terus berpegang kepada golongan ini yang mampu menaikkan dan menjatuhkan kerajaan. Suara mereka harus didengari tanpa disisihkan kerana mereka juga berhak untuk bersuara demi kepentingan masa depan mereka. Penulis berpendapat pemimpin kerajaan harus sentiasa turun padang dengan mendekati golongan belia dengan secara santai.

Sekiranya ada ruang perantaraan antara pemimpin dan golongan ini sudah pasti mereka malu dan segan untuk bersuara. Pemimpin tidak boleh selalu menggunakan cara yang mempunyai protokol untuk mendekati golongan belia seperti ceramah,debat,majlis rasmi dan sebagainya. Pemimpin harus sesekali mendekati belia dengan acara santai seperti bermain bola sepak, bola tampar, bowling dan minum petang atau malam bersama. Dengan cara santai golongan belia mudah mesra dan didekati dan dengan cara itu mereka akan menyuarakan pendapat serta berkongsi keinginan mereka.

Kerajaan juga harus beri tumpuan terhadap golongan belia yang tidak mempunyai pekerjaan. Peluang pekerjaan harus diberi lebih banyak dan juga program-program kemahiran harus diperluaskan sehingga ke peringkat universiti. Bagi belia yang tidak dapat menyambung pelajaran mereka harus diberi tumpuan agar tidak terpesong dengan membuang masa dan menjadi penganggur. Selain dari kemahiran pertukangan dan juga elektrik serta perindustrian, kerajaan juga boleh memberi peluang kepada belia yang minat dalam kemahiran keselamatan.

Ianya boleh dibahagi kepada beberapa bidang seperti keselamatan di tempat kerja, keselamatan di dalam air, keselamatan di jalan raya dan sebagainya. Mereka boleh menjalani latihan yang ditetapkan mengikut piawaian kerajaan dan ini memberi peluang kepada mereka untuk bekerja tanpa perlu berpeleseran tanpa arah tuju. Dengan cara ini juga boleh menjamin kehidupan mereka pada masa hadapan.

Kerajaan harus mengambil contoh-contoh anak muda dari negara luar dan mempraktikkannya di Malaysia. Seperti di Negara Jepun yang memberi peluang kepada golongan itu bekerja dalam bidang IT. Selain itu juga, pernbiagaan adalah paling mendapat sambutan. Kursus perniagaan dan keusahawanan telah dijalankan kerajaan sejak bertahun-tahun dahulu namun pada masa kini ianya tidak relevan dengan menggunakan kaedah yang sama. Mungkin dari segi penyebaran maklumat perniagaan dan juga cara berniaga serta kaedah-kaedah yang diperlukan mengikut perkembangan perniagaan semasa.

Oleh itu kerjaan harus mengambil inisiatif untuk mendekati golongan belia ini dan mendengar permasalahan mereka serta berkongsi idea. Kadang-kadang idea golongan ini boleh digunapakai untuk kemajuan negara. Apa yang penting kerajaan harus dengar suara anak muda dan kehendak mereka.



Khalid Semakin Pening Dengan Perangai Azmin


Kegagalan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam cubaan untuk merampas kerusi Menteri Besar dari pengaruh Wan Azizah tidak menghalangnya dari meneruskan gerakan politik menghalang penguasaan Khalid Ibrahim secara menyeluruh di Selangor.


Terbaru Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga merupakan ‘ayam sabungnya’ dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendesak Khalid agar memberikan jawatan Exco kanan kepada Azmin atas faktor senioritinya dalam parti bermata satu itu. Sekiranya diberikan tempat sebagai Exco kanan, Azmin secara tidak langsung akan dapat mengawasi sumber yang banyak di Selangor seperti tanah, pelaburan dan infrastruktur.

Tidak cukup dengan itu Zuraida turut memaklumkan PKR negeri telah mencadangkan beberapa nama untuk mengisi jawatan Exco negeri dan juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan Pejabat Menteri Besar. Ia secara tidak langsung menguatkan andaian, ‘kumpulan Azmin’ sedang berusaha untuk meletakkan pengaruh agar dapat mengawal pentadbiran Khalid.

Zuraida yang sinonim dengan gelaran ‘Mak Lampir’ ketika diminta mengulas lanjut mengatakan, gesaan tersebut bukan untuk mengawal Khalid atau sumber-sumber negeri, tetapi untuk memastikan bahawa dasar-dasar pakatan dapat diterjemahkan di peringkat negeri. Malah Zuraida turut menggunakan kesempatan tersebut untuk mengkritik pentadbiran Khalid yang dikatakan gagal memainkan peranan yang secukupnya dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ekoran desakan dan tekanan yang diterima itu, Khalid dikatakan telah ‘mengadu’ kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim untuk menjadi orang tengah bagi menasihati Azmin. Ini kerana selaku ‘anak emas’ kepada Anwar, Khalid percaya Ketua Pembangkang itu mampu menjadi pendamai bagi menyelesaikan konflik yang semakin meruncing itu.

Menurut sumber, PKR Selangor turut menggunakan alasan ‘beri peluang kepada muka baru’ supaya Khalid menggugurkan semua penyandang jawatan Exco PKR. Sekiranya gesaan diterima, Khalid terpaksa menyingkirkan para penyokong kuatnya dari jawatan tersebut seperti Elizabeth Wong, Dr Xavier Jeyakumar, Yaakob Sapari dan Rodziah Ismail.

‘Kumpulan Azmin’ ketika ini sedang kuat melobi beberapa nama antara Adun Batu Caves, Amiruddin Shari dan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad. Ahli Exco Selangor dijangka mengangkat sumpah minggu depan.

Walaupun secara dasarnya keputusan akhir Exco Selangor adalah merupakan kuasa mutlak Menteri Besar, namun umum menyedari kegagalan Khalid menerima pakai gesaan Azmin bakal menyebabkan PKR di ‘landa badai’ buat kesekian kalinya. Sebagai contoh kegagalan Anwar tempoh hari, memujuk Azmin agar menerima keputusan Wan Azizah untuk meletakkan Khalid sebagai MB hampir sahaja meranapkan parti itu.

Ia ekoran dari ugutan yang dibuat Azmin sebelum ini untuk meletakan jawatan bersama para pengikutnya sekiranya Anwar akur dan tunduk dengan kehendak Azizah. Namun hasil ‘pujuk rayu’ Anwar, ahli parlimen Gombak itu akhirnya membatalkan hasratnya di saat akhir.


Namun pembatalan tersebut tidak bermakna Azmin patuh dengan arahan, namun ia lebih kepada strategi untuk melihat keikhlasan Anwar terhadap dirinya. Sebagai tanda protes, Azmin dan kumpulannya dilihat memulaukan program jelajah ‘Himpunan Kemarahan Rakyat’ yang dihadiri Anwar. Tidak cukup dengan itu, ‘anak emas’ Anwar itu juga dilihat mula ‘mesra’ dengan pimpinan Umno apabila dilihat berbalas pesanan melalui twitter. Sedangkan sebelum ini, Azmin tak ubah seperti ‘singa lapar’ apabila berdepan pemimpin Umno.

Kesimpulannya, ekoran masalah dan perpecahan dalaman yang melanda dan mungkin juga kerana sudah tidak tahan lagi dengan mainan politik kotor Anwar dan isterinya, Azmin yang dahulu garang akhirnya terpaksa mengemis kasih dan ihsan Umno. Nyata perjuangan sebenar mereka bukan atas dasar prinsip atau kebenaran tetapi lebih kepada politik yang mendambakan kuasa.

Apa yang diharapkan, semoga rakyat tidak lagi tertipu dengan sandiwara pembangkang dan mampu menilai dalam membuat pertimbangkan yang waras dan wajar.

#SudahKalah..Kalahlah