Monday 20 May 2013

Khalid Semakin Pening Dengan Perangai Azmin


Kegagalan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam cubaan untuk merampas kerusi Menteri Besar dari pengaruh Wan Azizah tidak menghalangnya dari meneruskan gerakan politik menghalang penguasaan Khalid Ibrahim secara menyeluruh di Selangor.


Terbaru Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga merupakan ‘ayam sabungnya’ dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendesak Khalid agar memberikan jawatan Exco kanan kepada Azmin atas faktor senioritinya dalam parti bermata satu itu. Sekiranya diberikan tempat sebagai Exco kanan, Azmin secara tidak langsung akan dapat mengawasi sumber yang banyak di Selangor seperti tanah, pelaburan dan infrastruktur.

Tidak cukup dengan itu Zuraida turut memaklumkan PKR negeri telah mencadangkan beberapa nama untuk mengisi jawatan Exco negeri dan juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan Pejabat Menteri Besar. Ia secara tidak langsung menguatkan andaian, ‘kumpulan Azmin’ sedang berusaha untuk meletakkan pengaruh agar dapat mengawal pentadbiran Khalid.

Zuraida yang sinonim dengan gelaran ‘Mak Lampir’ ketika diminta mengulas lanjut mengatakan, gesaan tersebut bukan untuk mengawal Khalid atau sumber-sumber negeri, tetapi untuk memastikan bahawa dasar-dasar pakatan dapat diterjemahkan di peringkat negeri. Malah Zuraida turut menggunakan kesempatan tersebut untuk mengkritik pentadbiran Khalid yang dikatakan gagal memainkan peranan yang secukupnya dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ekoran desakan dan tekanan yang diterima itu, Khalid dikatakan telah ‘mengadu’ kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim untuk menjadi orang tengah bagi menasihati Azmin. Ini kerana selaku ‘anak emas’ kepada Anwar, Khalid percaya Ketua Pembangkang itu mampu menjadi pendamai bagi menyelesaikan konflik yang semakin meruncing itu.

Menurut sumber, PKR Selangor turut menggunakan alasan ‘beri peluang kepada muka baru’ supaya Khalid menggugurkan semua penyandang jawatan Exco PKR. Sekiranya gesaan diterima, Khalid terpaksa menyingkirkan para penyokong kuatnya dari jawatan tersebut seperti Elizabeth Wong, Dr Xavier Jeyakumar, Yaakob Sapari dan Rodziah Ismail.

‘Kumpulan Azmin’ ketika ini sedang kuat melobi beberapa nama antara Adun Batu Caves, Amiruddin Shari dan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad. Ahli Exco Selangor dijangka mengangkat sumpah minggu depan.

Walaupun secara dasarnya keputusan akhir Exco Selangor adalah merupakan kuasa mutlak Menteri Besar, namun umum menyedari kegagalan Khalid menerima pakai gesaan Azmin bakal menyebabkan PKR di ‘landa badai’ buat kesekian kalinya. Sebagai contoh kegagalan Anwar tempoh hari, memujuk Azmin agar menerima keputusan Wan Azizah untuk meletakkan Khalid sebagai MB hampir sahaja meranapkan parti itu.

Ia ekoran dari ugutan yang dibuat Azmin sebelum ini untuk meletakan jawatan bersama para pengikutnya sekiranya Anwar akur dan tunduk dengan kehendak Azizah. Namun hasil ‘pujuk rayu’ Anwar, ahli parlimen Gombak itu akhirnya membatalkan hasratnya di saat akhir.


Namun pembatalan tersebut tidak bermakna Azmin patuh dengan arahan, namun ia lebih kepada strategi untuk melihat keikhlasan Anwar terhadap dirinya. Sebagai tanda protes, Azmin dan kumpulannya dilihat memulaukan program jelajah ‘Himpunan Kemarahan Rakyat’ yang dihadiri Anwar. Tidak cukup dengan itu, ‘anak emas’ Anwar itu juga dilihat mula ‘mesra’ dengan pimpinan Umno apabila dilihat berbalas pesanan melalui twitter. Sedangkan sebelum ini, Azmin tak ubah seperti ‘singa lapar’ apabila berdepan pemimpin Umno.

Kesimpulannya, ekoran masalah dan perpecahan dalaman yang melanda dan mungkin juga kerana sudah tidak tahan lagi dengan mainan politik kotor Anwar dan isterinya, Azmin yang dahulu garang akhirnya terpaksa mengemis kasih dan ihsan Umno. Nyata perjuangan sebenar mereka bukan atas dasar prinsip atau kebenaran tetapi lebih kepada politik yang mendambakan kuasa.

Apa yang diharapkan, semoga rakyat tidak lagi tertipu dengan sandiwara pembangkang dan mampu menilai dalam membuat pertimbangkan yang waras dan wajar.

#SudahKalah..Kalahlah





No comments:

Post a Comment